(Petikan dari novel WAHYU BATU BERSURAT- hadiah pertama sayembara menulis novel MAIDAM dan DBP Wilayah Timur 2008)
Prof Hamimi tidak bersetuju sangat dengan pendekatan ‘menghukum’ yang Imam Haji Da guna. Walaupun ia bersetuju pada prinsip.
Prof
Hamimi berpandangan yang perlu dirawat bukan sikap ‘tidak mahu masuk
dalam Islam seluruhnya’ itu. Tapi yang perlu dirawat ialah punca kepada
sikap itu iaitu kejahilan dan kelemahan iman. Dan ini melalui tarbiah
dan dakwah, bukannya dengan menghukum dan mengeluarkan fatwa.
Tambahan pula bila fatwa dan pendekatan Imam Haji Da itu mewujudkan fenomena kafir-mengkafir sesama Melayu Islam.
Fenomena
ini menggusarkan Prof Hamimi. Bagaimana hendak menyatukan mereka?
Bagaimana hendak membina kesatuan saf mereka jika mereka saling bermasam
muka? Bagaimana bendak membina kekuatan dan membangunkan tamadun jika
mereka bertelagah dan berantakan sesama sendiri?
Misinya yang telah berjaya sedikit sebanyak boleh roboh semula jika fenomena ini berlarutan dan apinya merebak.
Apa
yang Imam Haji Da fatwakan itu benar, dan menurut lunas-lunas Al Quran.
Cuma mungkin berlaku kegopohan di pihak Imam Haji Da: Memberi fatwa
sebelum mentarbiah. Menghukum sebelum mendidik. Menabur benih sebelum
membajak tanah.
Menyatakan hukum sebelum menyediakan minda penerima menyalahi fakta sejarah pensyaria’atan itu sendiri.
Orang
yang sedang lemas, hendak menyelamatkannya bukan dengan menghukum
kesalahannya bermandi-manda di kawasan larangan. Tapi dengan
mengeluarkannya dari air dan mengeluarkan air dari perutnya terlebih
dahulu. Setelah pulih tenaga dan ingatannya barulah diperbetulkan
sikapnya.
Tapi ini bukan silap Imam Haji Da seorang. Kedua-dua pihak telah buat silap sebenarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan