CERPEN

TERKENA

‘Boleh percaya ke tidak ni’? Getus Sabri dalam hati.
Dia tetap ragu walaupun  abangnya telah berkali-kali mengajak Sabri menyertai skim itu.

Mudah, kata abangnya Ust Saad. Tak payah tebalkan muka berniaga cendol atau air batu campur atau burger di tepi jalan. Tak payah berdepan dengan kerenah orang bandaraya yang, menurut abangnya, lebih menjaga kepentingan pasaraya gergasi berbanding penjaja kecil sepertinya. Setakat ini sudah dua kali dia kena saman kerana berjualan di bahu jalan. Sudah tentu kerana tidak berlesen!  Apa dia boleh buat. Dia tiada pilihan melainkan  berniaga di situ juga. Pelanggannya tidak akan tahu atau tidak akan mencari cendolnya kalau dia beralih berniaga di tempat lain. Lesen pun dia tidak dapat pohon. Kerana orang bandaraya tidak memiliki peruntukan undang-undang yang membolehkan ‘lesen berniaga di bahu jalan’ dikeluarkan.
Mujurlah Sabri namanya  seperti tuannya, sangat penyabar.

Toha, seorang rakannya pernah mencadangkan agar berhenti saja berniaga. Balik kampung hadap pokok getah. Badan sihat, jiwa riang. Hari-hari darah dihisap pacat dan nyamuk, dapat buang darah kotor dari badan, kata Toha.

Sesekali Sabri terfikir untuk buat seperti yang Busaeed si penjaja buah di Tunisia lakukan. Simbah minyak pada badan dan bakar diri sendiri. Mati. Habis cerita. Tak payah fikir macamana nak cari rezeki. Orang Bandaraya pun tak perlu pusing kepala tentang karenahnya lagi. Karenah bumiputra malang sepertinya.

Labur RM1000, dapat pulangan RM100 tiap-tiap bulan. Labur RM5000, dapat RM500 tiap-tiap bulan. Pendeknya, dapat 10% dari modal yang dilaburkan, setiap bulan. Lumayan, kata abangnya.
Sesekali Sabri terfikir, baik juga ia menyertai skim yang diwujudkan oleh Syarikat Kuzam Berhad ini. Lebih baik dari buat projek ikan keli.
Laburkan RM5000, dan dia sudah boleh goyang kaki, tak perlu fikir lagi tentang belanja dapur. Dia hanya perlu pergi ke mana-mana mesin ATM untuk berbelanja. Syarikat Kuzam Berhad akan kreditkan ke akaunnya RM500 setiap bulan.
Sudah hampir seminggu sejak abangnya memperkenalkan skim itu, Sabri duduk ragu-ragu. Menyertai atau tidak?   
Setakat ini sudah dua tiga orang dia ambil pendapat. Termasuk pandangan pak sunya Samad Juling, yang walaupun juling - insyaAllah - pandangannya tak juling.  Pak sunya kata, ok. Pelaburan itu tiada masalah. 
“Dari segi undang-undang macamana, tak menyalahi?”  Dia bertanya kepada pak sunya.
“Ok. Tak ada apa-apa..”  Pak sunya meyakinkan.

Setakat ini sudah lima orang kampungnya menyertai skim itu. Termasuk ibunya Hajah Hamidah. Ibunya melabur RM3000.
Sebenarnya abang Saad tidak kempen. Cuma buka peluang.  Kepada sesiapa  yang ada lebihan simpanan dan tak tahu nak melabur ke mana.. bolehlah menyertai skim ini. Bertelur juga duitnya. Daripada terperuk saja-saja duit itu tanpa pulangan, dapat juga pulangan. Barangkali kerana skimnya menarik dan mudah, ramai juga yang berminat.
Tambahan pula, abangnya membawa imej seorang yang educated, lepasan sebuah universiti terkemuka di Timur Tengah, atau lebih tepat lagi Universiti Al-Azhar, Cairo. Alim dan warak.  Bertugas di Pejabat Agama Taiping sebagai pegawai penyelia masjid-masjid seluruh daerah Taiping.

Apa saja kenduri-kendara keagamaan, kalau abangnya ada di kampung, dialah yang akan pimpin.
Misalnya bila ada kenduri arwah, abang Saadlah yang akan jadi ‘Syaikhut-tahlil’. Demikian bila ada kelahiran bayi baru dan memerlukan selawat ‘marhaban’. Abang Saadlah yang akan pimpin.  Ceramah ‘maulidur-Rasul’ dan ‘ma`al-hijrah’ juga banyak diserah kepada abang Saad. Orang kampung mendapat suntikan kepercayaan daripada imej dan perwatakan yang dibawanya.  

Namun Sabri tidak berpandangan seperti mereka. Perwatakan abang Saad tiada kena mengena dengan kepercayaan terhadap Syarikat Kuzam Berhad.  Bukan sekali kejadian, orang-orang warak dan jujur terperangkap dalam mainan syarikat tertentu.
Untuk  mempastikan syarikat itu wujud atau tidak, diam-diam Sabri menelefon ke pejabat Kuzam Berhad. Nombor diperolehinya dari borang pendaftaran ahli yang ditinggalkan abangnya di atas meja di ruang tamu.
“Hello.. Syarikat Kuzam Berhad..” Terdengar respon seorang kerani wanita di talian.
“Err, saya nak tanya, untuk daftar ahli boleh tak saya bank in melalui internet?” Tanya Sabri seakan mahu menyembunyikan maksud sebenar.
“Ya boleh.. Cuma encik perlu print penyata bank in itu dan pos kepada kami. Simpan satu copy untuk rujukan encik. Untuk lagi mudah, hantar melalui emel pun tak apa.”  Balas petugas itu dalam bahasa rojak.
“Terima kasih atas maklumat.”   Sabri meletak gagang. Dalam hatinya ia berkata, syarikat ini ada pejabat. Bukan syarikat hantu. Dan keraninya memberikan info secara jujur.

LIPUTAN MEDIA
Hari ini hari minggu. Pukul 11.00 AM tadi abang Saad sekeluarga tiba dari bandar. Memang menjadi kelaziman abang Saad balik menziarahi ibu sempena hari minggu.
Kalau tiada hal mustahak di bandar Taiping, itulah rutinnya. Balik menjenguk ibu. Jarak dari bandar Taiping ke kampung Kamunting ini lebih kurang sepuluh kilometer saja.
“Ini.. kalau kamu masih waswas. Tengok majalah ni..” Abang Saad menghulurkan majalah Korporat. Ketika itu mereka baru selesai makan tengahari berlaukkan ikan keli masak lemak cili api, masakan Kak La. Di luar, suasana agak sepi kerana masing-masing jiran terbenam dalam rumah dan buat hal sendiri-sendiri.
Dalam majalah itu terdapat liputan tentang Syarikat Kuzam Berhad.
Terpampang gambar ketua eksekutifnya En. Azlan, seorang yang warak dan ahli ibadat. Ada tanda hitam pada dahinya, kerang kesan sujud. Tangannya sedang memegang tasbih.
Terdapat juga gambar En. Azlan sedang berdiri dalam saf, sedang bersolat Tarawih bersama para makmum yang lain. 
‘Orang warak macam ni, tak kan tak jujur..’  Kata Sabri dalam hati.  Rasa prejudisnya mula menghilang sedikit demi sedikit.
Dipaparkan juga wawancara dengan En. Azlan. Salah satu kenyataannya, “saya membuka skim ini untuk membantu bangsa saya. Memacu ekonomi mereka..”
‘Orang ini nampaknya tulus..’  Sekali lagi Sabri memberikan respon positif  dalam hati.
“Ok lah. Dah dapat liputan media macam tu.. aku joinlah.”  Akhirnya Sabri membuat keputusan.

Dan itu secara tak langsung menjadi bukti betapa besarnya pengaruh media.


SEMPAT SEKALI SAHAJA
Sebulan setengah berlalu.
Sabri seronok sungguh bila dua minggu lepas telefon bimbitnya berbunyi, “tit..tit..”  Ada sms dalam inbox menyatakan amaun RM500 telah dikreditkan ke akaun BIMBnya. Rupanya oleh pihak Kuzam Berhad.  Itu bulan pertama dia menerima pulangan 10%  dari pelaburannya.
Ibunya Hajah Hamidah juga seronok. Sudah dua kali akaun ibunya dikreditkan RM300. Pak su Samad Juling juga sudah dua kali terima RM1000. Pelaburan pak su Samad agak besar, RM10,000.

Pagi ini pagi minggu.
Abang Saadnya - sebagaimana lazim, setiap awal bulan - pulang ke kampung. Namun kali ini wajahnya tidak ceria.  
“Abang tak ceria.. apa hal?”  Sabri menyapa sambil meletak plastik makanan itik, ketika abangnya baru turun dari kereta. Kakak iparnya Kak La juga kelihatan muram. Mereka bergaduhkah? Anak mereka Luqman yang baru berumur tiga tahun turun menerpa ke arah Sabri.  “Pak ngah.. pak ngah.. Man ada elikopter uleh ebang..” (Man ada helikopter boleh terbang), katanya dengan riang. Barangkali dia tidak memahami, ibu bapanya sedang menghadapi masalah. Dan Sabri juga tidak memahami, apakah masalah mereka?     
“Nanti abang ceritakan,” jawab abangnya sepatah,  sebelum bergegas ke bilik air.

Lepas makan abang Saad masuk ke bilik Sabri.
“Jangan kecoh..takut ibu terkejut..” Abang Saad seakan memberi mukaddimah terlebih dahulu. “Ibu tu jantungnya tak stabil..” Sambungnya lagi.
“Ada apa sebenarnya abang?”  Tanya Sabri, agak kehairanan.
“Aset Kuzam Berhad disita Bank Negara..”
“Ha…” Terkejut beruk Sabri, macam orang baru lepas kemalangan. Mukanya sedikit pucat.  Semangatnya hilang serta-merta.
Untuk seketika kedua-duanya diam.  Masing-masing seperti sedang mencari kekuatan diri.
“Kenapa?  Bukankah skim tu ikut undang-undang..?  Tanya Sabri. Masih dalam nada terkejut dan tak boleh terima.
“Pak su Samad pun kata ok. Dia orang bisnes..Tinggal di KL pula, takkan dia tak tahu..”  Soal Sabri, tidak percaya pada berita yang baru didengarnya. 
“Abang tak berteliti sebenarnya Ri. Tak selidik betul-betul. Pak su Samad tu orang bisnes, bukan orang undang-undang.”  Abang Saad memberikan reaksi terhadap soalan Sabri sambil menggenggam-genggam telapak tangannya seakan-akan sedang melepaskan marah.  “Tinggal di KL bukan bermakna tahu semua perkembangan,”  sambungnya lagi.
“Yang salahnya itu apa sebenarnya?”  Sabri inginkan penjelasan lebih lanjut.
“Abang pun tersilap juga sebenarnya. Dari segi undang-undang, tak boleh membuat pungutan dana dari orang ramai secara haram, tanpa lesen. Hari tu sangka abang, Kuzam Berhad sudah ada lesen..Silap abang tak selidik.”  Akui abang Saad.  “Satu lagi, saham yang dijualnya tu pun atas angin.. dari segi syarak pun tak sah jual beli begitu..”  Akui abang Saad lagi.  

Sabri mengeluh dalam-dalam. Melayang duit aku, getusnya. Rasa menyesal tak sudah mula menyelinap masuk ke dalam sukmanya. Kalau duit tu dia buat beli van buruk, dia sudah boleh pelbagaikan barang jualannya. 
“Sekarang apa tindakan En. Azlan? Yang dah silap tu apa boleh buat.. Kita fikir tindakan seterusnya” Sabri cuba mencadangkan penyelesaian dan jalan keluar.
“Itulah masalahnya.. Tokoh keparat.. tokoh korporat apa macam tu?  Kononnya nak pacu ekonomi bangsa. Selfish. Hanya tahu kepentingan sendiri saja..Makhluk tak berguna tu dah lari keluar negara..”
“Haa..!”  Sekali lagi Sabri terkejut. Kemudian dia, sambil mengeluh dan menggeleng-gelengkan kepala, berkata, “tapi.. kalau dah disita begitu, apa dia boleh buat.. Ada dia seperti tak ada..”
“Sebenarnya Ri, penyelesaian duk di tangan dia. Bukan payah sangat. Dia bayar denda sikit pada Bank Negara. Bukan banyak ribu pun. Dia tanggung sikit denda, duit orang ramai boleh selamat.. Tapi dah dasar pentingkan diri.. walhal sebelum ni berapa banyak dia dah dapat untung hasil duit orang ramai. Sekarang dia fikir nak selamat sendiri saja.  Sepatutnya dia bertanggungjawab atas kesilapan dia.”

Abang Saad diam. Sabri juga. Buntu.

Dalam hatinya Sabri berkata, kalau konflik melibatkan perisian komputer,  mungkin senang. Misalnya, bila perisian Windows dilanda konflik, orang-orang pakat bangunkan perisian ‘Kubuntu’ dan konflik selesai. Tapi konflik ini kompleks. Ianya konflik undang-undang. Konflik bisnes. Dan konflik moral serentak. Itulah untungnya ia sebagai rakyat Malaysia, fikir Sabri. Walaupun hanya seorang penjaja, ia berilmu dan bermaklumat. Dan mengikuti perkembangan semasa. Cuma dalam perkara yang satu ini, dia boleh tertipu, ceh!

Sebenarnya ada satu lagi kegelisahan abang Saad. “Macamana abang nak terangkan pada orang kampung, Ri..?  Malu abang ni..”  Katanya meminta pandangan Sabri. 

Sebulan kemudian terpampang berita di dada akhbar.
‘Mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadap En. Azlan’.

Sabri tersenyum, sedikit puas hati. Namun nasib duitnya, ia belum tahu.  Moga-moga dapat kembali, doanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan