Isnin, 11 September 2017

Kini Allah menguji jemaah Tabligh. Rakan-rakan dalam usaha berpecah kepada tiga aliran fikir:
1- Menerima Hadrat Maulana Saad DB sebagai amir secara mutlak.
2- Menerima Hadrat Maulana Saad sebagai amir tetapi bersyarat, iaitu perlu adanya penasihat dari kalangan masyaikh orang-orang lama dalam usaha yang mendapat suhbat dan didikan langsung dari Hadrat Ji (pemimpin ruhani jemaah) sebelum ini. Kekuatan rohani hasil dari suhbat (perdampingan) perlu diambil kira kerana sahabat Nabi yang sempat mendampingi Nabi SAW - hinggakan yang paling junior di kalangan mereka pun - tak dapat diatasi oleh Tabi'in yang paling tinggi darjatnya.
3- Tidak menerima Hadrat Maulana Saad sebagai amir bahkan menghendaki adanya (kemaskini) pembentukan jemaah Syura (pimpinan tinggi jemaah) yang bergilir-gilir membuat faisalah (keputusan).

Pada hemat saya, aliran kedua adalah terbaik. Kerana Nabi SAW bersabda:  "perkara terbaik ialah yang pertengahan."

Aliran pertama ada mudharatnya iaitu seorang individu tidak sunyi dari membuat kesilapan kerana ia manusia biasa yang tidak maksum. Hanya Nabi yang maksum. keputusan yang dibuat seseorang yang bukan Nabi tak lebih dari keputusan seorang mujtahid yang disifatkan sebagai "adakalanya betul, adakalanya membuat kesilapan". Perlu diambil kira juga bahawa bantuan Allah ialah ke atas jemaah.

Kemudharatan aliran ketiga pula ialah dibimbangi  berlakunya kecelaruan dasar dan kegoyangan prinsip serta ketidakstabilan "penerbangan" jemaah yang bergerak di angkasa dakwah atas sayap mujahadah, seantero dunia.

Pergeseran menjadi kompleks bila masing-masing followers -kebalikan dari mencari titik temu- menggunakan pendekatan "mencari titik perbezaan" seperti menggunakan slogan Kandahlawi, Nizamuddin, 100 tahun pengorbanan (aliran 1) dan senioriti, suhbat tiga Hadrat Ji, guru lebih bersanad dari murid (aliran 3). Di samping setiap pihak menganggap pihak oposit sebagai baghi (memberontak) dan menjurus ke arah menyelesaikan secara keras.

Walhal semua kualiti itu patut digabungkan untuk kemaslahatan umat yang dihimpit pelbagai isu menggugat seperti penindasan umat Islam Rohingya, Palestin dan di Marawi City. Jangan kita lupa, kerja Nabi SAW menyatukan umat, bukan memecahkan.

Mujahadah untuk makmur ialah taat dan mujahadah untuk amir ialah buat dengan mesyuarat.

Merasakan Masyaikh seakan-akan maksum dan level atasan, tak boleh ditegur, juga menambah-rumitkan lagi keadaan. Tokoh sehebat Khalifah Sayyidina Umar al Khattab pun menerima teguran dari perempuan tua dan dari rakyat bawahan, dan mewajarkan teguran berkenaan dan menukar keputusan (membuat U-Turn).

Semoga Allah memberi pendekatan terbaik untuk para Masyaikh Dakwah dan semua  rakan-rakan seusaha. Amin.

Ahad, 22 Januari 2012

tiada faedah bacaan tanpa adanya renungan..
tiada faedah ibadat tanpa disertai feqah (kefahaman)

Jumaat, 2 Disember 2011

Catatan buat para pemimpin sempena PRU ke 13

LUPA LAUTAN

Naik tinggi seorang pemimpin
bagai melonjak naik segulung ombak
adakala mencecah 60 kaki ke udara
adakala menjadi gulungan tsunami
merempuh segala tembok konkrit
dan musuh hipokrit

Kebal sungguh ia!

Kekuatannya tak lebih hanyalah kerana
dukungan lautan di bawah kakinya
tapak ia melonjak dan mendabrak
untuk memecah dan memerintah

Tenaganya terjana selama punya sambungan
kepada samudra raya rakyatnya

Sayang.. setelah mempunyai kekuatan ajaib
dan mendarat di pantai
ia lupa lautan
tak mahu ia berpatah balik ke bawah
lalu kering menjadi lopak tak berguna
kering di celah pepasir gersang.. dipijak-pijak
bak buih-buih liur di mulut pemimpin
yang cakapnya tak serupa bikin
yang kuasanya bukan guna menyumbang
yang melakukan sumbang takhta dan sumbang wanita dan sumbang harta rakyat jelata

kuasanya tidak berguna
tidak bermakna apa-apa
tidak meninggalkan nama

Sudah malas ia turun padang lalu hilang sokongan
dan hilang taring

Ombak lupa lautan itulah pemimpin lupa daratan.

Isnin, 28 November 2011



Hambatan Diri

Ada banyak hambatan saban masa
Menolak-nolak diri kita supaya
Mengingini seribu warna dan sejuta rasa
Sebarisan gelar dan nama
Sederetan penyokong setia

Mengingini istana dengan kuda-kuda di kandang
Mengingini bidadari dunia seratus orang
Mengingini kebun ladang
Dengan sungai-sungai mengalir di celah pohonan rendang
Tanpa ditumpangi selsema, sengal dan radang

Mengingini aset dan kuasa
Yang mencengkam siapa saja
Kambing dan serigala

Namun kita ada tambatan daya
Kenyanyukan minda
Keterbatasan tenaga
Samada pria mahupun wanita
Selagi dunia ini namanya penjara

Tuhan kita telah membuat syarat
Setiap kita mesti melalui titian Sirat
Sebelum sampai ke tanah afiat
Bernama jannat
Dan mendapat  tempat di sisi Rabbul-izzat
Bersama para malaikat

Dan selepas jambatan ini tiada lagi tambatan
Selepas jambatan ini terpenuhlah segala hambatan
Selepas jambatan ini menanti segala kenikmatan
Selepas jambatan ini budayamu adalah kemalaikatan
Selepas jambatan  ini nafsumu tiada sekatan
Selepas jambatan ini buah Khuldi tidak lagi bersyaitan
Memakannya tidak dibuang watan
Tidak mendapat laknatan
Tidak menuntut taubatan

Namun sebelumnya  kita harus persetan
Terhadap banyak tuntutan
Harus tunduk pada ketaatan
Penuhi perjalanan hidup dengan keibadatan
Sifat solat dalam segala kegiatan

Ahad, 27 November 2011



Buku

Ia sentiasa kudakap ke dada
Kerana padanya rindu sering bergelora
Tak pernah bertepi

Lagi dan lagi ia kutatap
Kerana tanpa henti ia menambah harap
Sering kutemui pencarian yang hilang
Pada mutiara hikmat dalam lipatannya

Ia teman ketika sepi
Ia kekasih abadi
Penawar ketika duka

Cinta kami bersemi sejak azali
Bertambah segar saban hari
Mengatasi cinta seorang isteri

Bila bertemu, bicaranya tak pernah henti
Namun tetap bernas, kerana ia  tak pernah nyanyuk
Meski lebih tua dariku beribu tahun - ia lahir semenjak Allah bersumpah dengan pena  
Ia menguasai semua bahasa dunia
Ia mahir dalam segala ilmu takwini dan tasyri’i
Ia arif tentang segala ideologi
Ia pakar rujuk segala falsafah dan teknologi

Ia memberiku sentiasa, nafas baru
Dalam menangani cabaran melintang bertali arus tanpa henti
Sebagai khalifah Allah

Ia guru yang memimpin dalam kegelapan
Ia menteri penasihat paling berwibawa
Ia peguam yang membelaku di mahkamah “Menyesal Dulu”
Tanpa perlu memasuki Mahkamah Rayuan
Ia sifu yang mendidikku sebelum tersalah langkah
Ia sufi yang menegurku penuh hikmah
Agar bertaubat dan berlari kepada Allah
Sebelum menyesal pada hari kemudian, dan muflis
Tanpa dapat bangkit kembali lagi

Dialah buku.. Dialah kitab..
Dengannya aku menjadi ulul-albab
Dengannya aku menjadi malaikat
Dengannya aku menjadi pewaris para nabi
Dengannya aku memiliki tongkat hikmat
Yang dapat membentuk aliran sungai-sungai syurga
Dengannya aku mendapat darjat tertinggi
Dalam majlis “al-Malail-A’la”, Di sisi Raja Paling Berkuasa
Allah Azza Wajalla



Sabtu, 26 November 2011

Khutbah Layu


Di atas mimbar pada hari Jumaat
Imam terbatuk-batuk
makmum tidur melentuk-lentuk
remaja di tangga membuat kelompok
mikrofon uzur dan serak tekak

Ini saja media paling berkesan kita ada
mesej bisa sampai kepada semua kelas
tua muda terpelajar buta huruf
desa dan kota
penoreh dan pemungut kelapa
mat rempit dan bos yang terhimpit masa

tiba-tiba ia diabai
tidak sekhusyuknya dimentelaah
jadinya kata sakti Hang Tuah “Tak Melayu hilang..”
di dunia sedang tenggelam di akhirat masih kelam
mentaliti kelas tiga tetap di situ jua
pelbagai tema hanyut begitu saja
survival bangsa masih belum terjumpa
walau dengan obor siang telah dicari ke mana-mana

Khamis, 24 November 2011

Balada Ibu Tua Dan Ibu Muda


seorang ibu dengan wajah redup
saban pagi mendukung puteri cacatnya ke rumah jiran
dia dengan sayu terpaksa menitipkan anak itu sampai sore
kerana perlu mencari nafkah sesuap nasi
kerana suaminya kini sakit jiwa
kerana tekanan kerja

dia dengan berat hati meninggalkan anak kecil tak berdaya
yang merayu jangan dirampas haknya ingin bermanja dengan ibu
kerana kasih sayang jiran pengasuh
entah dari hati atau bersauh
pada beberapa keping wang di hujung bulan?

ibu muda itu cuba mengubah suratan hidup
meski dengan sekadar bekerja
sebagai tukang sapu di kaki lima
dan lobi sebuah pejabat
ia tak pandai melobi lebih dari itu

betapa ia menginginkan Umar al-Khattab
menjadi YB di kawasannya
yang sanggup berjalan dalam gelita
tanpa lensa kamera dan orang media
tanpa mengira musim pilihanraya
hanya untuk bertanya khabar berita ibu tua dan anak-anak menderita
dalam khemah kulit unta
setelah hilang arah di padang sahara
si ibu menjerang air kononnya nasi sedang ditanak 
asidah sedang dimasak
hakikatnya sebagai penyedap hati semata
agar anak-anak, dalam menanti, terlelap mata

namun akan hidup kembalikah Umar itu?
akan hidup kembalikah bara kasih sayang?
yang ditiupnya dengan mulut khalifah
hingga asapnya memenuhi janggut baginda

demikianlah  BAGINDA

Jumaat, 26 Mac 2010

MIKRAJ HATI (DISIARKAN DALAM MAJALAH CAHAYA EDISI JAN/FEB 2010)


saban hari lima kali aku
berburaq dalam kembara rohani
menemui Tuhanku laksana mikraj seorang nabi
menyampaikan hasrat
melaksanakan amanat pengabdian
yang tak tertanggung oleh langit dan bumi
dan gunung-ganang


saban hari pagi dan senja
dan ketika dinihari
aku melayari al-Quran
meneliti hasrat Ilahi
menyambut datang segala suruhan
segala firman.. segala sabdaan..
menutup pintuku terhadap segala tegahan


pertukaran hasrat ini menjadikan daku dan Tuhanku
makin intim saban hari
menambahkan rindu untuk bertemu
hingga tiada tertahan lagi
sabarku makin menipis
aduh! kapankah aku akan dikapankan..
agar bisa kita bertemu?


keinginan Tuhanku aku penuhi
keinginanku Tuhanku penuhi
kepuasan kuperolehi
dan kini tiada lagi keinginan duniawi
yang membelenggu diri
aku menjadi insan yang seredha-redhanya
mempunyai jiwa yang sepuas-puasnya
teguh setia dengan pengabdian
laksana air turun dari gunung
mendiami gua terperosok di celah dua cerun
tidak terkocak sedikit pun
oleh angin yang menerjah


“YA AYYATUHAN-NAFSUL MUTMAINNAH..
IRJI’I ILA RABBIKI RADHIAYATAN MARDHIYYAH..
FADKHULI FI IBAADI..
WADKHULI JANNATI..”